IPOH – Seorang lelaki ditemukan mati akibat kecederaan parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 bangunan sebuah hotel di sini hari ini.
Mangsa berusia 40 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat 13 ke tingkat enam bangunan hotel berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 9.29 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh diatur gerak ke lokasi kejadian bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Operasi menurunkan mangsa telah dilakukan dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE