SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah mengesan 40 kesalahan memandu di bawah umur 16 tahun sempena Operasi Khas Motosikal bermula 1 September sehingga semalam.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, secara keseluruhannya sepanjang tempoh penguatkuasaan berkenaan, sebanyak 8,123 notis telah dikeluarkan dan 827 buah motosikal telah disita.
Menurutnya, daripada 8,123 notis yang dikeluarkan termasuk kesalahan bawah umur, 2,489 adalah kesalahan melibatkan kesalahan lesen memandu, 1,936 kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM), 1,805 kesalahan tiada insurans, 1,023 kesalahan teknikal kenderaan dan selebihnya adalah lain-lain kesalahan.
“Kesalahan memandu semasa di bawah umur 16 tahun sebanyak 40 kes. Ibu bapa dinasihatkan mengambil perhatian berhubung perkara ini kerana golongan ini belum layak menunggang motosikal di atas jalan raya kerana boleh membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain.
“Sepanjang tempoh penguatkuasaan ini, sebanyak 28,586 kenderaan telah diperiksa. Sejumlah 3,241 buah daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. Sebanyak 8,123 notis telah dikeluarkan dan 827 buah motosikal telah disita,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Hanif Yusabra memaklumkan golongan penunggang berumur antara 17 hingga 25 tahun dengan 2,635 bersamaan 32.44 peratus dan berumur 26 hingga 35 tahun dengan 2,378 (29.27%) kes, adalah mereka yang paling banyak melakukan kesalahan.
Dalam pada itu katanya, JPJ telah menyita sebanyak 827 buah motosikal sepanjang tempoh operasi tersebut.
“Kenderaan ini disita atas kesalahan seperti tiada Lesen Memandu, LKM dan juga tiada insurans serta pengubahsuaian yang ekstrem. Turut disita adalah motosikal yang ditunggang oleh warga asing (PeWA) yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
“Daripada jumlah kenderaan yang disita ini, sebanyak 126 buah disita melibatkan motosikal yang ditunggang oleh warga asing. Sebanyak 11 buah motosikal yang disita juga turut dirujuk kepada Jabatan Kimia Malaysia kerana disyaki ada gangguan pada nombor casis dan nombor enjin,” katanya.
Menurutnya, jabatan kimia akan menjalankan ujian forensik dan pengecaman semula nombor casis dan enjin bagi membolehkan JPJ mengenal pasti identiti sebenar motosikal berkenaan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE