PETALING JAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melancarkan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ bagi menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kempen itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat.
“KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen ini dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi.
“Sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi platform.
Menurut beliau, penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dalam menyampaikan mesej kempen itu kepada masyarakat. – K! ONLINE