GUA MUSANG – Seekor harimau belang jantan diberi nama Apek Bihai berusia dalam lingkungan dua tahun yang dipercayai membaham anjing peliharaan Orang Asli Pos Bihai di sini akhirnya memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan seekor harimau belang berkeliaran di kawasan tersebut daripada penduduk Kampung Hak pada 24 Julai lalu.
Katanya, susulan daripada aduan tersebut, Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan telah menjalankan siasatan awal, pemantauan dan pemasangan satu unit perangkap harimau belang (Perangkap Wahab) di lokasi aduan.
“Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia bersama kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan telah menjalankan operasi tangkapan harimau belang kelmarin.
“Operasi itu melibatkan 10 anggota dan pemasangan satu unit perangkap tambahan di kawasan aduan dan seekor kambing hidup telah digunakan sebagai umpan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE