fbpx

Jururawat maut nyatakan hasrat mahu berpisah dengan suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosima menunjukkan gambar Munirah yang berkawan rapat sejak di bangku sekolah ketika ditemui di pekarangan HSB, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Jururawat yang maut dipercayai ditikam dalam kejadian di Arau, Perlis hari ini pernah menyuarakan hasrat untuk berpisah dengan suaminya itu sebelum ini, namun membatalkannya demi anak-anak.

Menurut rakan baiknya, Rosima Dollah, 31, mangsa, Munirah Abu Bakar, 31, bagaimanapun memaklumkan kepadanya akan pergi ke pejabat agama esok bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya itu.

“Arwah pernah menyuarakan perkara itu (berpisah) namun tak jadi kerana memikirkan anak-anaknya yang masih kecil, malah ketika berbual semalam arwah ada beritahu bahawa dia akan ke pejabat agama esok untuk menguruskan hal itu.

“Saya tidak bertanya panjang-panjang kerana saya tahu arwah menyembunyikan sesuatu dan dia enggan beritahu saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Menurut Rosima, kali terakhir mereka bertemu pada Hari Raya Aidilfitri lepas ketika bertandang ke rumah arwah di Beseri, Perlis., tetapi kira-kira pukul 10 pagi semalam dia menghubungi dengan mangsa.

“Saya dapat rasakan sesuatu kerana arwah tak banyak cakap, tidak macam sebelum ini. Saya juga nak jumpa dengan arwah, tetapi dia kata sibuk kerana kerja. Pagi tadi saya terkejut mendapat berita kematiannya,” ujarnya dengan nada sebak.

Menurut wanita itu, Munirah yang juga rakan sekolahnya sejak tingkatan satu disifatkan sebagai seorang wanita yang lemah lembut serta baik hati dan kedua-dua mereka seperti adik beradik.

Sementara itu, seorang lagi rakan lama mangsa, Efa Adah Sapri, 31,  berkata, berita kematian Munirah mengejutkan rakan-rakannya yang pernah menjalani latihan kejururawatan di Kangar, Perlis kerana Munirah dikenali sebagai sangat baik hati dan lemah lembut

Akhbar ini hari ini melaporkan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu di Arau, Perlis.

Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi sewaktu mangsa ingin keluar bekerja sebelum berlaku pertengkaran dengan suaminya yang berusia 38 tahun dan ujian urin suspek didapati positif dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI