LUMUT – Kegembiraan seorang lelaki bercuti di Pulau Pangkor bersama dua rakannya berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui lemas di pantai Pasir Bogak di pulau itu, petang tadi.
Difahamkan, mangsa berusia 21 tahun pada mulanya menyelamatkan seorang rakannya yang hampir lemas, kemudian kepenatan dan tenggelam ke dasar laut sedalam kira-kira tiga meter.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mangsa yang berasal dari Ayer Tawar dekat sini ditemui oleh orang ramai di kawasan kira-kira tujuh meter dari pantai.
“Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.05 petang. Sebaik tiba, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Muzaidi Mohamad menerima laporan bahawa mangsa telah ditemui,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor oleh van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan disahkan telah meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE