PUTRAJAYA – Seorang pegawai kanan jualan syarikat telekomunikasi direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Perintah reman sehingga 23 November depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini menjadikan jumlah penahanan reman berkaitan kes itu adalah seramai 18 orang.
Menurut sumber, suspek berusia 37 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 7.30 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.
Dalam pada itu, seorang bekas pegawai syarikat telekomunikasi dibebaskan dengan jaminan pada hari yang sama.
Difahamkan, mereka yang terlibat dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.
“Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan menerusi SMS dengan mengenakan bayaran langganan tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE