ARAU – Lelaki yang menikam mati isteri dipercayai kerana cemburu didakwa keluar dari rumahnya di Jalan Padang Nyu, di sini, dalam keadaan tergesa-gesa.
Menurut jiran mangsa, Mad Radzi Ismail, 41, dia yang baru pulang dari tempat kerja pagi tadi melihat suspek menghidupkan enjin kereta dan memandu dalam keadaan tergesa-gesa keluar dari rumahnya.
“Saya bekerja syif malam hari ini dan sewaktu pulang pada pukul 8 pagi tadi, saya lihat kenderaan jiran masih berada di rumah.
“Sekitar pukul 9 pagi, saya nampak dia (suspek) telah keluar memandu kereta dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Mad Radzi berkata, sepanjang mangsa dan suaminya menetap di rumah tersebut sejak empat tahun lalu, dia tidak pernah mendengar mereka bertengkar atau bergaduh sesama sendiri.
Jelas Mad Radzi, jirannya itu juga kerap bertegur sapa dan sering bertanya khabar sekiranya mereka bertemu.
“Memang perwatakan dia (suspek) baik, bukannya seorang yang panas baran malah anak-anak kami juga sering bermain bersama di rumah,” katanya.
Tambahnya, dia sememangnya terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka suspek akan bertindak sedemikian ke atas mangsa.
“Saya tak sangka dia akan bertindak sebegitu memandangkan perwatakannya memang sama seperti orang normal lain,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah, Kangar maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi tadi sewaktu mangsa berusia 31 tahun itu ingin keluar bekerja.
Selepas menikam mangsa, suspek memindahkan isterinya ke dalam bilik tidur utama dan sempat menghantar anak-anak mereka ke pengasuh sebelum menyerahkan diri kepada polis. – KOSMO! ONLINE