fbpx

DBKL nafi dakwaan Ahli Parlimen Cheras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berhubung dakwaannya bahawa tanah-tanah milik DBKL dijual kepada pihak swasta untuk dimajukan, dibangunkan sebagai projek perumahan dan lain-lain.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, mereka juga menafikan dakwaan bahawa terdapat 42 plot tanahnya telah terjual dalam tempoh lapan bulan terakhir Tan Sri Annuar Musa berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

“DBKL ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Mengikut semakan, terdapat 42 plot tanah di Kuala Lumpur milik persendirian yang memohon proses perubahan kepada zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot terhadap Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020).

“Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982 (Akta 267) memberi peruntukan kepada pemilik tanah bagi merubah zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot dalam Pelan Tempatan PBRKL2020 yang diwartakan. Peruntukan ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 17, Akta 267,” katanya.

Menurut DBKL, daripada 42 plot yang terlibat, tiga permohonan perubahan telah diwartakan, enam dalam proses pewartaan manakala 33 plot masih dalam pertimbangan.

Katanya, semua proses tersebut telah mengikut peruntukan yang termaktub dalam akta sedia ada.

Pada masa sama, DBKL turut memaklumkan bahawa secara keseluruhan daripada 97 transaksi pelupusan tanah yang berlaku adalah sebelum tahun 2020 dan tidak melibatkan keputusan Menteri Wilayah Persekutuan sekarang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI