KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal menggubal strategi yang lebih berkesan menggunakan teknologi baharu bagi memaksimumkan penguatkuasaan pencegahan rasuah untuk mengekang aktiviti salah laku berimpak tinggi di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM ingin mengotakan visi dan misi agensi tersebut dalam menjadikan negara aman dan damai serta bebas rasuah sempena ulang tahun ke-56 yang bakal disambut 1 Oktober, esok.
“Sebagai agensi pencegah rasuah di negara kita, kami akan gubal lebih banyak strategi yang berkesan untuk mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan.
“Dalam masa yang sama, kami akan memfokuskan pada kes kehilangan dana atau wang negara yang berskala besar,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar SPRM Bersama Media 2023 Sempena Ulang Tahun SPRM Ke-56, di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia, Kajang, hari ini.
Pada program tersebut, seramai 50 petugas media termasuk pempengaruh media sosial seperti Mat Lutfi dan Iqbal Fatkhi serta orang kenamaan (VIP) hadir memeriahkan program.
Azam berkata, program SPRM Bersama Media bakal diadakan setiap tahun untuk meningkatkan lagi kebersamaan bersama media. – KOSMO! ONLINE