LOS ANGELAS – Seorang lelaki didakwa di Las Vegas kerana disyaki membunuh penyanyi rap ternama Hollywood, Tupac Shakur, 27 tahun lalu.
Bintang hip-hop itu, yang dianggap sebagai salah seorang penyanyi rap paling berpengaruh sepanjang zaman – ditembak mati di bandar Nevada pada September 1996.
Lapor portal SkyNews, bagaimanapun, penembaknya tidak pernah dikenal pasti, dan kes itu mengecewakan pasukan penyiasat dan menarik perhatian orang ramai untuk mengetahuinya.
Pada Jumaat, Juri Besar Nevada mendakwa Duane ‘Keffe D’ Davis berusia 60 tahun atas tuduhan membunuh menggunakan senjata api.
Difahamkan, Davis ditahan pada pagi Jumaat di Henderson, sebelum didakwa di mahkamah.
Sheriff Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas, Kevin McMahill, berkata keluarga Tupac menunggu 27 tahun untuk mendapatkan keadilan.
Davis ialah bapa saudara kepada Orlando Anderson, salah seorang pesaing Tupac, yang sudah lama disyaki pihak berkuasa terbabit dalam kematian penyanyi rap itu.
Anderson terbabit dalam pergaduhan kasino yang membabitkan Tupac dan rakan-rakannya pada malam kematian bintang itu.
Bagaimanapun, Anderson menafikan terbabit dalam pembunuhan penyanyi rap berkenaan, dan lelaki itu meninggal dunia dua tahun kemudian dalam satu kejadian tembakan.
Leftenan Jason Johansson, dari Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas, menggelar Davis sebagai ‘ketua dan penembak ‘ kumpulan itu.
Beliau berkata, Davis merancang serangan itu sebagai ‘pembalasan’ atas insiden awal di kasino yang membabitkan Anderson.
“Tidak ada sesiapa yang tahu bahawa insiden inilah yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Tupac Shakur,” katanya.
Tupac, yang ditembak beberapa kali, meninggal dunia pada 12 September ketika berusia 25 tahun.