KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah kerajaan negeri dan persekutuan perlu berusaha meningkatkan kemudahan air termasuk mengurangkan non revenue water (NRW) yang mencecah 53.7 peratus bagi tahun lalu.
Titah tersebut dibacakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang Ke-54 di Balai Istana Besar di sini hari ini.
Baginda bertitah, penyediaan sumber air yang bersih menjadi salah satu agenda keutamaan di Kelantan.
“Keadaan itu perlu ditangani dengan berkesan bagi mencapai pengurusan sumber air negeri yang lestari dan holistik.
“Melihat kepada situasi semasa, beta juga berasa dukacita apabila isu jenayah syariah dipandang ringan dan dipermainkan segelintir masyarakat. Justeru, beta berharap kerajaan negeri memandangkan serius perkara ini agar dapat membendungnya,” titah baginda.
Sultan Muhammad V turut bertitah, keadaan situasi ekonomi semasa terutamanya bagi tahun ini yang dijangka akan tumbuh dengan perlahan.
Titahnya, ketegangan geopolitik antarabangsa yang berlaku di antara Ukraine dan Rusia antara faktor utama berlaku ketidakstabilan ekonomi global.
“Pergolakan itu telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang seterusnya menyumbang kepada kenaikan harga barang dan memburukkan lagi tekanan inflasi global,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE