PETALING JAYA – Penyanyi Nadeera tampil membuat laporan polis terhadap seorang penata gaya selepas memfitnah pengurusnya, Muhammad Azizi atau Zizi Hadid atas dakwaan tidak jujur dan pecah amanah.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 30, dalam Instagram miliknya, dia menafikan segala tuduhan yang disebarkan penata gaya tersebut dan selain mahu mempertahankan pengurusnya daripada terus difitnah dengan tuduhan yang tidak betul.
“Saya mengambil maklum beberapa tuduhan serta ugutan yang dibuat seorang penata gaya terhadap pengurus saya, Zizi Hadid dalam Instagramnya sejak kebelakangan ini.
“Di sini, saya menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan dan fitnah yang dilemparkan individu itu yang mendakwa pengurus saya tidak bersikap jujur dan pecah amanah.
“Saya mengambil serius isu fitnah yang mendakwa saya diperlakukan secara tidak profesional oleh pihak pengurus. Atas nasihat peguam, satu laporan polis telah dibuat,” ujarnya.
Tambahnya, pihak pengurusannya, Woodwid Records juga sedang meneliti semua perkara yang didakwa oleh individu terbabit dan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat unsur ugutan dan fitnah terhadap pengurusnya.
“Saya dan pengurus tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara ini berlanjutan.
“Pihak kami juga sudah tidak mempunyai kaitan dengan individu tersebut sejak isu ini timbul. Saya menggesa individu itu untuk berhenti daripada terus memburukkan keadaan,” tegasnya.
Pada masa sama, bekas juara program Big Stage musim kelima (BS5) itu juga meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan kenyataan yang didakwa berniat jahat dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
Bahkan, dia turut percaya, isu fitnah itu timbul kerana mahu merosakkan kerjaya seninya. Namun dia yakin perkara tersebut tidak akan menjejaskan hubungan baiknya dengan Zizi dan akan terus maju bersama dalam industri.
Isu berkenaan dipercayai timbul apabila seorang penata gaya secara terbuka mendakwa Zizi sebagai seorang yang tidak amanah apabila melarikan duit bayaran persembahan.
Nadeera bagaimanapun menegaskan bahawa mereka bekerja secara profesional dan tidak pernah berlaku sebarang masalah seperti yang dikatakan oleh individu terbabit. – KOSMO! ONLINE