KUALA LUMPUR – Bintang olahraga negara, Muhamad Azeem Mohd. Fahmi tiada masalah melayakkan diri ke separuh akhir 100 meter Sukan Asia Hangzhou malam esok selepas mengungguli pusingan pertama sebentar tadi.
Azeem, 19, seperti masih menyimpan tenaga dan belum memberikan pecutan terbaik ketika menjuarai peringkat saringan 3 di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou dengan catatan masa 10.28 saat (s).
Tiga lagi pelari daripada peringkatnya turut layak ke separuh akhir iaitu Hassan Taftian dari Iran dengan masa 10.42s, Ali Anwar Ali Al Balushi (Oman, 10.47s) dan Jaeseong Lee (Korea Selatan, 10.50s).
Berdasarkan prestasi semasa, atlet dari Teluk Intan, Perak yang kini menuntut di Universiti Auburn itu berpotensi memecahkan rekod 100m kebangsaannya iaitu 10.09s sama ada di separuh akhir atau final malam esok.
Seorang lagi wakil negara, Khairul Hafiz Jantan turut cemerlang apabila berjaya menempatkan diri sebagai empat pelari terbaik daripada saringan 5 dan mengiringi Azeem ke separuh akhir malam esok.
Bekas raja pecut Asia Tenggara pada 2017 itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 10.48s, di belakang Lalu Muhammad Zohri (Indonesia, 10.22s), Femi Ogunode (Qatar, 10.24s) dan Imranur Rahman (Bangladesh, 10.44s).
Bagaimanapun, ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli gagal mengulangi pencapaiannya ke final seperti edisi lima tahun lalu apabila cabarannya terhenti di pusingan pertama.
Sementara itu, pemegang rekod 400m wanita kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy juga dalam kelas tersendiri apabila mengesahkan tempat ke final malam esok dengan catatan masa 52.89s untuk menjuarai saringannya sebentar tadi.
Nasib berbeza buat pemegang rekod 400m lelaki, Umar Osman apabila gagal ke final selepas menamatkan perlumbaannya di tempat keempat di belakang Fuga Sato (Jepun), Yousef Masrahi (Arab Saudi) dan Aruna Singhapurage (Sri Lanka). – KOSMO! ONLINE