TONGGAK pertahanan skuad hoki lelaki negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan tidak terkesan dibolosi tiga gol dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan menjelang aksi getir menentang Korea Selatan di Gongshu Canal Sports Park hari ini.
Bagi Najmi, ia bukanlah masalah besar kerana Speedy Tigers masih kekal satu-satunya pasukan dalam Kumpulan B yang merekodkan kemenangan bersih 100 peratus daripada tiga aksi di Sukan Asia Hangzhou setakat ini.
Pakar flick itu berpandangan Korea Selatan lebih tertekan untuk menghadapi skuad negara kerana lawan di ranking ke-13 dunia tersebut tewas mengejut 2-3 kepada China kelmarin.
“Bolos tak bolos bukan masalah. Kita ada rakaman video, jadi boleh tengok apa kesalahan yang dibuat. Sekurang-kurangnya kita tahu mana cacat cela yang boleh diperbaiki.
“Ini satu pengajaran yang bagus untuk kami bangkit apabila berdepan Korea Selatan (hari ini) dan China (Isnin),” kata pemain berusia 28 tahun itu.
Malaysia, No.10 dunia, masih mengekalkan rekod sempurna dalam tiga perlawanan dengan meledak 29 jaringan selepas menundukkan Thailand 9-0, Oman 11-1 dan Indonesia 9-2.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, A. Arul Selvaraj menuntut prestasi sama daripada anak-anak buahnya walaupun menyedari tiga aksi terdahulu bukanlah cabaran sebenar kerana beraksi dalam intensiti rendah.
“Kita bermain tiga perlawanan selesa yang sepatutnya kita menang. Bahayanya ketiga-tiga perlawanan ini adalah intensitinya rendah dan lawan pun tidak menekan.
“Kita sudah banyak kali bertemu Korea Selatan, jadi pemain tahu bagaimana untuk berdepan mereka. Minda perlu sedia, kemahuan dan kepercayaan kena tinggi,” jelasnya.