LIVERPOOL – Liverpool mungkin terpaksa turun menentang Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok di London tanpa kehadiran tonggak pertahanan, Trent Alexander-Arnold.
Alexander-Arnold, 24, dikatakan masih belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan yang menyaksikan dia tidak diturunkan ketika menang 3-1 ke atas Leicester City pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris kelmarin.
Bagaimanapun, pengurus The Reds, Jurgen Klopp tidak bimbang dengan situasi itu kerana beliau telah merehatkan ramai pemain utama apabila membuat 10 pertukaran dalam kesebelasan utama ketika menentang Leicester.
Nama-nama seperti Alisson, Joe Gomez, Andy Robertson dan Mohamed Salah langsung tidak diturunkan dalam aksi itu yang menyaksikan Curtis Jones menggalas tugas kapten selain turut bermain di posisi bek kanan.
“Kami masih belum boleh menurunkan Stefan (Bajcetic) dan juga Trent (Alexander-Arnold) kerana terlalu awal buat mereka. Kami perlu berhati-hati agar tidak alami masalah yang lebih serius,” kata Klopp.
Kenyataan itu menggambarkan tonggak pertahanan England tersebut masih memerlukan sedikit masa untuk kembali mencapai tahap kecergasan terbaik sejak mengalami hamstring ketika menentang Aston Villa awal bulan ini.
Kem Liverpool terutamanya penolong pengurus, Pepijn Lijnders optimis Alexander-Arnold mungkin kembali turun padang ketika menanti kunjungan wakil Belgium, Union Saint-Gilloise untuk aksi Liga Europa pada Jumaat ini.
Buat masa ini, Gomez akan terus diberikan tanggungjawab beraksi sebagai bek kanan dalam usaha mengekang kemaraan penyerang lincah Spurs, Son Heung-min pada aksi di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi esok. – AGENSI