fbpx

‘Saya sempat pegang tangan Qamarul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota pasukan mencari dan menyelamat mengangkat mayat Muhammad Khalili dan Muhammad Qamarul Arifin yang lemas di Air Terjun Puteri, Bukit Besi, Dungun kelmarin.

DUNGUN – Tiada apa yang mampu diluahkan oleh seorang pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini selain perasaan terkilan dan sedih selepas dia gagal menyelamatkan nyawa dua rakannya yang lemas ketika mandi di Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi di sini kelmarin.

Sheikh Arif Habibullah Sheikh Riduan, 20, berkata, dia dan beberapa rakan lain telah sedaya upaya menyelamatkan Muhammad Khalili Hasnol dan Muhammad Qamarul Arifin Mohd. Ramly, namun gagal ekoran arus kuat dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu.

“Kejadian berlaku dengan pantas. Pada mulanya, kami hanya mandi di kawasan cetek sebelum dua rakan kami tiba-tiba dibawa arus dan dihanyutkan ke tempat lebih dalam.

“Ketika itu, saya terus berenang ke arah mereka dan sempat memegang tangan Muhammad Qamarul, tetapi tidak sempat menariknya keluar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sheikh Arif Habibullah berkata, dia kemudiannya berenang ke tebing menghampiri rakan-rakannya yang lain sebelum mereka menghulurkan pelampung.

Pelajar semester lima Diploma Teknologi Maklumat itu berkata, dia kembali berenang bersama pelampung untuk menyelamatkan Muhammad Khalili dan Muhammad Qamarul Arifin, tetapi masih juga gagal membawa mereka keluar.

“Saya bagaikan hilang arah dan mahu memasuki lokasi yang lebih dalam. Bagaimanapun, rakan-rakan lain menjerit me­minta saya berpatah balik demi ke­selamatan diri.

“Kejadian ini benar-benar mengejutkan dan saya sukar untuk lelapkan mata kerana gagal menyelamatkan mereka,” tambahnya.

Bercerita lanjut, Sheikh Arif Habibullah berkata, dia dan Muhammad Khalili dan Muhammad Qamarul Arifin bersama enam rakan serumah yang lain datang ke kawasan Air Terjun Tasik Pu­teri itu untuk bersantai sempena cuti umum Maulidur Rasul kelmarin.

Katanya, ini merupakan kali kedua mereka mandi di air terjun berkenaan sepanjang bergelar pelajar PSMZA dan kedua-dua mangsa juga sangat teruja sepanjang perjalanan menuju lokasi berkenaan.

Jelasnya lagi, jenazah Muhammad Qamarul selamat dikebumikan di kampung halamannya di Taman Tas, Kuantan, Pahang pada pukul 10 pagi semalam, manakala jenazah Muhammad Khalili pula dikebumikan di Ampang Jaya, Selangor selepas solat Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI