TASHKENT Uzbekistan – Seorang remaja terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas petir menyambar sebuah gudang, menyebabkan letupan besar berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent semalam, lapor portal berita metro.co.uk.
Detik petir menyambar itu dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV). Letupan yang berlaku menyebabkan bangunan berhampiran rosak, manakala stesen kereta api bawah tanah Quruvchilar di kawasan berdekatan turut mengalami kerosakan kecil.
“Seorang remaja yang dilahirkan pada 2006 meninggal dunia,” kata Kementerian Kesihatan Uzbekistan menerusi aplikasi Telegram sambil menambah, 162 mangsa lain cedera.
Kekuatan letupan itu turut menyebabkan penggera sejumlah kereta berbunyi dengan kepulan asap dan api menerangi langit malam.
Seramai 16 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian, manakala Kementerian Situasi Kecemasan tidak menyatakan apa yang berada di dalam gudang itu.
Agensi berita Russia, Tass bagaimanapun melaporkan bahawa bangunan tersebut menyimpan berpuluh-puluh kenderaan elektrik dan bateri.
Seramai 24 orang yang cedera itu telah dibawa ke hospital dan 138 lagi menerima rawatan luar sebelum dibenarkan pulang, kata kementerian kesihatan. – AGENSI