LOS ANGELES, California – Sebuah kereta terbang yang mempunyai bentuk seperti objek terbang tidak dikenali (UFO) berharga AS$288,829 (RM1.35 juta) semakin hampir menjadi kenyataan, lapor portal berita Fox News semalam.
Dinamakan Model A, kereta itu dibina oleh syarikat automotif berpangkalan di California, Alef Aeronautics.
Kenderaan itu dirakam semasa Pameran Automotif Detroit di negeri Michigan, minggu ini.
Ia menerima kelulusan penerbangan daripada kerajaan Amerika Syarikat pada Jun 2023 dan boleh dinaiki oleh dua orang.
Menurut Alef Aeronautics, kereta elektrik itu bukan sahaja mempunyai keupayaan pemanduan di jalan raya tetapi juga boleh terbang untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di samping berlepas dan mendarat secara menegak.
Ketua Pegawai Eksekutif Alef Aeronautics, Jim Dukhovny berkata, syarikat itu menyasarkan untuk memulakan pengeluaran kereta elektrik terbang pertamanya itu menjelang akhir 2025. – AGENSI