LONDON – Polis Britain menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun kerana menebang sebatang pokok popular dekat Tembok Hadrian yang pernah dipaparkan dalam filem blockbuster Hollywood, lapor akhbar The Sun semalam.
Pokok mapel itu berusia lebih 200 tahun dan setinggi 21 meter terletak di kawasan berbukit Sycamore Gap, dekat Cran Lough, daerah Northumberland, England. Ia ditebang pagi semalam.
Polis Northumbria berkata, remaja lelaki itu ditahan kerana disyaki melakukan vandalism berhubung penebangan Pokok Sycamore Gap. Polis percaya kerosakan yang berlaku pada pokok itu adalah perbuatan disengajakan.
Pokok itu pernah dipaparkan alam filem Robin Hood Prince of Thieves pada 1991 yang dibintangi oleh Kevin Costner dan Morgan Freeman.
Superintendan Kevin Waring dari Jabatan Polis Northumbria, berkata: “Ini adalah mercu tanda yang terkenal di dunia dan peristiwa hari ini (semalam) telah menyebabkan kejutan, kesedihan dan kemarahan kepada seluruh masyarakat setempat,” katanya .
Penduduk yang tinggal berdekatan meluahkan kemarahan mereka terhadap penebangan pokok itu yang merupakan salah satu mercu tanda paling dikenali di Britain.
Seorang petani, Katie Smith, 25, berkata, dia melihat pokok itu tumbang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada pagi semalam.
“Ia adalah satu tragedi. Tiada siapa yang menyangka ia telah ditebang,” katanya.
Pihak Berkuasa Taman Negara Northumberland meminta orang ramai untuk tidak melawat lokasi tersebut sementara siasatan dijalankan. – Agensi