KLANG – Seorang wanita yang juga penduduk Bagan Teo Chew, Pulau Ketam di sini, dilaporkan masih hilang dalam kebakaran tiga buah rumah di kawasan itu hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, mangsa berusia 49 tahun itu dipercayai berada di dalam rumah ketika kejadian tersebut.
“Bomba masih giat menjalankan usaha mencari dan menyelamat mangsa tersebut. Sehingga kini, wanita itu belum lagi ditemui di lokasi kebakaran.
“Tiga rumah musnah 90 peratus dengan kebakaran telah berjaya dipadam sepenuhnya dengan operasi melibatkan Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Kota Raja, Andalas dan Pasukan Bomba Sukarelawan Pulau Ketam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo melaporkan tiga bot dan dua tempat pemunggahan ikan turut musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu.
Penduduk memaklumkan ketika kejadian rata-rata penduduk yang terdiri daripada nelayan tiada di rumah kerana keluar mencari hasil laut. – KOSMO! ONLINE