TIDAK pernah serik, namun jika tiada jodoh, apalah gunanya untuk diteruskan lagi hubungan bernama perkahwinan.
Predikat tersebut cukup menggambarkan betapa ikatan perkahwinan itu sesuatu terlalu rapuh untuk dipertahankan beberapa selebriti.
Lebih dramatik, bukan sekali tetapi ada yang mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali, namun runtuh jua masjid yang dibina.
Kisah paling hampir pernah berlaku ialah perceraian Noor Nabila dan Engku Emran yang baru-baru ini menuai perhatian ramai kerana perkahwinan tersebut merupakan kali ketiga buat mereka.
Hakikatnya, episod kahwin cerai turut berlaku kepada beberapa selebriti ternama lain, dari dalam dan luar negara.
Natasha Hudson
DENGAN lima perkahwinan dan empat perceraian, pelakon Natasha Hudson barangkali antara artis wanita yang paling banyak bercerai dan berkahwin buat masa ini.
Pelakon filem Chermin itu berkahwin buat kali pertama dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama dua tahun.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Neesa Helena.
Tidak menunggu lama, Natasha kemudian berkahwin dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih pada 2006, namun bercerai selepas empat bulan bergelar suami isteri.
Kemudian, pada Oktober 2018, Natasha atau Natasha Liana Hudson mengakui sudah bercerai dengan bekas suami, Carleed Khaza atau Khalid Kamal yang dinikahinya pada April 2012.
Sepanjang enam tahun bersama, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.
Natasha kemudian bernikah dengan suami keempatnya iaitu Noor Nashriq pada 2018 sebelum bercerai setahun kemudian.
Terkini, berdarah kacukan itu kembali bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Jay Jasmin dalam sebuah majlis tertutup sekitar Mac tahun lalu dan kini menetap di Pulang Langkawi, Kedah.
Fiza Elite
SI cantik Fiza Elite juga selebriti wanita yang sering menjadi tumpuan ramai dek kisah kahwin cerainya.
Detik pertama Fiza bergelar seorang isteri ialah menerusi perkahwinan pertama pertama, Ahmed Farriq Zainul Abidin sebelum dikurniakan dua anak mereka, Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.
Mereka bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.
Fiza seterusnya berkahwin dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013. Mereka kemudian bercerai pada September 2016 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Menerusi perkahwinan ketiga dengan juruterbang, Aizat Al Jefri pada Disember 2016 itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Baby Aleena kini berusia hampir tiga tahun.
Sayangnya, perkahwinan tersebut juga tidak bertahan lama apabila disahkan berpisah sekitar Julai 2020.
Tom Cruise
Episod kahwin cerai bukan hanya berlaku pada selebriti tanah air tetapi termasuk juga aktor antarabangsa iaitu Tom Cruise.
Mengimbau semula, Cruise pernah berkahwin dengan aktres Mimi Rogers pada Mei 1987 sebelum mengumumkan perceraian mereka pada 16 Januari 1990.
Antara punca yang membawa keretakan rumah tangga pasangan tersebut ialah perbezaan ideologi dan kepercayaan agama.
Kurang setahun, Cruise sekali lagi mendirikan rumah tangga, namun kali ini bersama pelakon Nicole Kidman pada 24 Disember 1990, namun mereka bercerai pada 2001.
Sepanjang tempoh perkahwinan, mereka tidak dikurniakan anak tetapi mempunyai anak angkat, Isabella dan. Connor Cruise
Kemudian, bintang filem Mission Impossible itu berkahwin dengan aktres jelita, Katie Holmes pada tahun 2008, namun berpisah pada sekitar Julai 2012.
Mereka mempunyai anak Suri yang kini bawah jagaan Holmes.
Anggun
PENYANYI antarabangsa kelahiran Indonesia, Anggun berkahwin sebanyak empat kali. Pertamanya, Anggun berkahwin pada 1992 dengan jejaka Mat Saleh bernama Michael Georgea dan berakhir dengan perceraian.
Pelantun lagu Mimpi itu kembali mendirikan rumah tangga menerusi pernikahan kedua bersama jejaka asal Kanada, Olivier Maury pada 2004 sebelum bercerai sekitar 2006.
Empat tahun kemudian, Anggun membina rumah tangga kali ketiga dengan seorang penulis berasal Perancis bernama Cyril Montana tetapi berpisah pada 2015.
Akhirnya pada 2018, dia memilih untuk mendirikan rumah tangga bersama jurugambar, Christian Kretschmar.
Perkahwinan mereka dilaporkan bahagia dan kini memilih untuk menetap di Bali, Indonesia.