PETALING JAYA – Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mengetahui bahawa terdapat lampu isyarat di negara ini yang menggunakan sistem sensor, sekali gus perlu memastikan kenderaan berada di atasnya bagi membolehkan ia bertukar warna.
Perkara itu berdasarkan tinjauan orang ramai pada Facebook Bandar Sri Putra Bukit Mahkota Community selepas seorang pengguna dikenali sebagai Badrul Hisham meluahkan perasaannya apabila ada pengguna kereta tidak memberhentikan kenderaan di atas sensor tersebut.
Berdasarkan penceritaannya, dia pernah dimarahi pengguna kereta apabila diminta memberhentikan kenderaan di atas sensor itu sedangkan jika tidak berbuat demikian, lampu isyarat tidak akan bertukar daripada warna merah kepada hijau.
“Tolonglah, yang guna lampu isyarat di pasar raya CS simpang nak ke Bangi Wonderland, sekiranya lampu merah tu, janganlah takut nak berhenti dekat sikit pada garisan. ‘Kebodohan’ tu menyebabkan orang lain pun kena tunggu sama.
“Cuba rapat sikit ke depan garisan jalan. Dia ada ‘detect’ yang garis hitam tu, barulah lampu akan bertukar hijau. Kalau tidak, tunggulah sampai lebam lampu isyarat tetap merah.
“Saya dah kena banyak kali sebab kereta depan berhenti bukan di garisan lampu isyarat. Sebaliknya jauh dan tegur depan-depan, marah,” katanya meluahkan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai berkongsi pengalaman sama selain ada seorang pengguna Facebook yang mempersoalkan penjelasan Badrul Hisham, namun ia kemudian diperbetulkan seorang pengguna lain yang memberikan hantaran daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Yakin ke garisan tu sensor. Rasa macam tak ada kaitan saja,” soal seorang wanita dan kemudian, pengguna Facebook dikenali sebagai Saiful Ammar berkongsi hantaran JKR berhubung sensor di lampu isyarat.
Wan Syaiful Azhar pula bercerita, sensor tersebut tidak dapat mengesan kehadiran motosikal sekali gus pengguna kenderaan lain termasuk kereta perlu berada di atas sensor itu.
“Kalau yang duduk depan tu motosikal, dia tak ‘detect’. Menyumpah aku sampai dua kali giliran lampu tak hijau. Buat aduan buang sajalah sensor tu sebab semua laluan pun dah ‘busy’. Sensor gunanya untuk jalan yang tiada kereta. Ini empat laluan sentiasa ada kenderaan,” katanya.
Pengguna Facebook, Aziz Shah meninggalkan komen iaitu sensor tersebut hanya akan mengesan kehadiran empat motosikal, berbanding satu motosikal.
“Motosikal kena empat buah atas garisan, baru dia ‘detect’. Naya nak tunggu, dahlah tak ada pokok, panas piang,” katanya.
Menerusi Facebook CKE JKR Selangor kelmarin, pihak tersebut menasihatkan pengguna untuk berada di atas ‘loop’ sensor bagi memastikan lampu isyarat bertukar warna.
“Kalau korang nak tahu, ini nama dia ‘loop’ sensor. Kalau tak ada kenderaan atas tu, lampu tu akan merah jika ‘setting’ lampu isyarat ‘base on demand’. Kereta korang kena berada di atas ‘loop’ sensor,” kata hantaran tersebut. – KOSMO! ONLINE