fbpx

9 didakwa culik isteri orang, minta tebusan RM540,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, pagi tadi.

GEORGE TOWN – Sembilan individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik wanita warga Indonesia yang juga isteri kontraktor awal bulan ini.

Tertuduh ialah Mohamad Noor Shahrizuan Hashin, Tan Gim Chun, C. Youganathan, Elaine Gooi Swee May, Lok Wai Lun, Haffizan Samsudin dan Noorazlin Mat Kasa. Turut didakwa dua warga Indonesia iaitu Yussuf Bahtiar Dan Agong Laksono.

Kesemua mereka mengangguk faham bagi pertuduhan itu di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan bersalah direkodkan daripada mereka yang berusia 29 hingga 41 tahun itu.

Mereka didakwa bersama-sama menculik mangsa berusia 36 tahun bagi menuntut wang tebusan RM540,000 di sebuah blok Pangsapuri Sri Aman, Paya Terubong di sini, pukul 7 pagi, 7 September lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Darrshini, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Chiang Kan Hong.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin. Mereka dibawa ke Penjara Reman Pulau Pinang. Sebutan semula kes pada 11 Disember depan.

Baru-baru ini, Kosmo! Online melaporkan, seorang wanita berdepan pengalaman ngeri ketika bercuti di negeri ini apabila menjadi mangsa culik selama 10 hari angkara hutang suaminya yang berjumlah RM540,000.

Selain dikurung, wanita tersebut turut diikat dengan rantai besi, didera termasuk dicucuh dengan puntung rokok dan dicucuk jarum selain disebat menggunakan paip getah.

Penderitaan mangsa bagaimanapun berakhir selepas dia berjaya diselamatkan polis dalam satu operasi khas Op Scorpion Rantai Penang di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, 17 September lalu. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI