SEBERANG PERAI – Iconic Penang Sdn. Bhd (Iconic Penang) telah memeterai perjanjian francais dengan Marriott International bagi membangunkan projek hotel bertaraf lima bintang, Hotel Iconic Marjorie.
Pembinaan hotel mewah setinggi 32 tingkat di bawah jenama Tribute Portfolio di Bayan Lepas itu menawarkan 298 bilik dan dijangka memulakan operasi pada tahun depan.
Kos pelaburan hotel yang bernilai RM180 juta itu diperuntukkan oleh Iconic Penang.
Pengarah Iconic Penang, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, jalinan kerjasama dengan Marriott International adalah salah satu usaha merancakkan lagi jenama Iconic dalam industri perhotelan.
“Marriott International merupakan syarikat perhotelan terbesar dunia malah secara konsisten mempamerkan tahap perkhidmatan, gaya dan kecanggihan yang tinggi.
“Saya yakin perkongsian kami akan menaikkan nilai hartanah dan aset hotel Iconic sekali gus dapat memperhebatkan lagi jenama Marriott International di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian francais di Iconic Hotel, Bukit Mertajam di sini.
Majlis menandatangani perjanjian francais yang disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu turut dihadiri oleh Naib Presiden Kanan Pembangunan, Asia Pasifik (kecuali China) Marriott International, Kevin Chen.
Hotel Iconic Marjorie merupakan projek hotel kedua yang digerakkan oleh Kean Tet dan hotel pertama Iconic Group adalah Iconic Hotel dengan 195 bilik di Seberang Perai yang dibuka pada tahun 2016.
Tambah Kean Tet, hotel mewah bercirikan Baba Nyonya itu bakal menjadi tarikan pelancong domestik dan luar negara sekali gus mempamerkan keindahan warisan budaya negeri ini.
“Firma terkemuka, Hirsch Bedner Associates (HBA) dilantik untuk mengetuai usaha reka bentuk dalaman hospitaliti dan kami yakin ia dapat menambah nilai besar kepada hotel ini.
“Hotel ini bersedia menjadi hotel pertama di Pulau Pinang yang mencapai standard emas berprestij dalam sistem penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI),” katanya.
GBI yang merupakan gabungan Majlis Bangunan Hijau Sedunia (WGBC), adalah sistem penarafan hijau yang direka untuk menggalakkan kelestarian dalam persekitaran binaan dalam kalangan pemaju, arkitek, jurutera, perancang, pereka bentuk, kontraktor dan orang awam.
Mengulas lanjut, Kean Tet berkata, gabungan tenaga dengan Marriott akan membolehkan Kumpulan mewujudkan sebuah hotel yang benar-benar mencerminkan status Pulau Pinang sebagai destinasi bertaraf dunia untuk pelancong dan pelabur.
“Selain menawarkan layanan, santapan dan hiburan yang luar biasa, Hotel Iconic Marjorie dijangka mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan ekonomi lain yang berharga,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE