fbpx

Majikan potong gaji pekerja terperangkap dalam lif pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki tersebut terperangkap di dalam lif syarikat selama tiga jam. - Agensi

NEW DELHI, INDIA – Seorang lelaki di New Delhi  meluahkan rasa kesal selepas syarikat tempat dia bekerja mahu memotong gajinya akibat terlewat tiba selama tiga jam kerana terperangkap di dalam lif rosak di bangunan yang sama, lapor laman berita NDTV semalam.

Berdasarkan hantaran dikongsikan di laman sosial Reddit, lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu berkata, dia berada di dalam lif pejabat yang secara tiba-tiba berhenti bergerak.

Disebabkan gagal menghubungi petugas penyelenggaraan, dia menghubungi pegawai Jabatan Sumber Manusia (HR) dan memberitahu keadaannya.

Mereka kemudian menghantar juru selenggara sebelum dia berjaya dikeluarkan  tiga jam kemudian.

Namun, nasib tidak menyebelahi lelaki tersebut apabila dia diberitahu pegawai HR bahawa dia dianggap tidak hadir pada hari tersebut, menyebabkan gajinya akan dipotong.

“Saya berkata kepada mereka bahawa jika mereka mahu menandakan kedatangan saya sebagai tidak hadir, saya mahu pulang ke rumah.

“Namun, penolong pengurus memberitahu bahawa kami kekurangan pekerja, justeru, saya tetap perlu bekerja,” katanya.

Tambah lelaki itu, dia bertegas agar HR membetulkan rekod masa kehadirannya dan sekiranya enggan, dia mahu pulang ke rumah kerana telah dianggap tidak hadir.

“Mereka mula mengugut saya mengenai penilaian prestasi kerja tahunan dan etika  bekerja serta menuduh saya mereka pelbagai alasan dan tidak mempunyai motivasi,” jelasnya.

Menurut lelaki tersebut, dia berhasrat membawa perkara tersebut ke mahkamah selepas merekod kejadian kerosakan lif dan menyimpan semua perbualan bersama HR serta penolong pengurus.

Hantaran yang dikongsikan itu menjadi perhatian ramai dan menerima pelbagai komen netizen.

“Saya tidak akan bekerja jika saya ditandakan sebagai tidak hadir. Sebaliknya, syarikat perlu membayar pampasan kepada anda kerana berlakunya insiden tersebut. Sila tukar kerja,” kata seorang pengguna.

“Bagaimana anda boleh bekerja dalam persekitaran penuh ‘toksik’? Jika mereka mahu anda bekerja, mereka perlu menandakan kehadiran anda. Sebaliknya, mereka enggan membayar gaji, namun masih mahu anda bekerja. Adakah ini era perhambaan?” soal pengguna lain. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI