fbpx

‘Air banjir melimpah deras masuk rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Longgokan pokok di kawasan rumah penduduk ketika tinjauan di Kampung Padang Empang, Baling semalam. – SHAHIR NOORDIN

BALING – Penduduk Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di sini menyifatkan kejadian bah kali ini paling teruk kerana air yang melimpah masuk ke dalam rumah mereka terlalu deras dan menakutkan.

Kejadian itu berlaku ekoran hujan lebat yang melanda dua buah kampung tersebut sejak petang kelmarin.

Dalam tempoh beberapa jam sahaja, kesemua rumah penduduk yang terletak berdekatan Sungai Kupang dinaiki air secara berperingkat sejak pukul 6 petang hingga 8.30 malam.

Penduduk, Telka Md. Udin, 49, berkata, kejadian kali ini berbeza dengan kepala air pada 4 Julai 2022 yang mana air melimpah dengan laju menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah.

“Ketika itu, saya baru selesai solat maghrib. Saya dan anak lelaki berusia 14 tahun segera lari meninggalkan rumah kerana bimbang terperangkap,” katanya ketika ditemui semalam.

Penduduk Kampung Padang Empang, Abdul Wahab Samah, 72, pula berkata, hujan lebat bermula pukul 4 petang menyebabkan dia tidak senang duduk.

“Pada pukul 6 petang, air mula melimpah memenuhi pekarangan rumah dan masuk ke dalam rumah dua jam kemudian. Limpahan air terlalu laju dan membawa bersama pasir dan tanah.

Akibatnya, malam tadi (kelmarin) rumah kami dimasuki air hingga paras pinggang,” kata­nya ketika ditemui.

Ketika kejadian, dia tinggal di rumah bersama isteri, Che Munah Abu Bakar, 62.

“Kami nyaris terperangkap di dalam rumah, namun sempat diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggunakan bot,” katanya.

Bagi Fatimah Wahab, 80, dari Kampung Padang Empang pula, dalam kejadian banjir kali ini, dia tidak sempat berbuat apa-apa ketika air mula memasuki rumahnya pada pukul 8.30 malam kelmarin.

“Ketika itu hujan lebat berte­rusan sejak pukul 4 petang. Air mula memasuki rumah empat jam kemudian menyebabkan saya segera meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri.

“Banyak barangan dan perkakasan elektrik di rumah rosak termasuk dua buah motosikal yang ditenggelami air,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI