KLUANG – Penutupan jejantas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kota Tinggi dekat sini tidak hanya menyebabkan kesesakan pada waktu puncak, malah turut merisikokan para pelajar yang terpaksa melintas jalan setiap hari.
Malah, penutupan jejantas berkenaan turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa memandangkan jalan yang dilintasi oleh para pelajar berkenaan merupakan jalan utama antara Kluang dengan Kota Tinggi.
Seorang penduduk, Abdul Rahim, 44, berkata, tidak semua ibu bapa yang datang mengambil anak-anak mereka dapat berada di hadapan sekolah berikutan keadaan jalan yang sempit selain perlu memberi laluan kepada kenderaan lain yang menggunakan jalan berkenaan.
“Kami berharap jejantas berkenaan dibuka segera dan sementara penutupan ini, perlu ada pihak yang mengawal lalu lintas agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Ini memandangkan tanggungjawab pengawal sekolah sangat terhad selain tugasan itu berada di luar tugasan mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Abdul Rahim turut mengharapkan agar pengguna jalan yang melalui Jalan Kluang – Kota Tinggi dapat memperlahankan kenderaan terutama pada waktu pelajar datang dan balik sekolah.
Sementara itu, mengulas mengenai isu berkenaan, Pengarah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, Dr Mohamad Nizam Subaher berkata, penutupan jejantas di harapan sekolah tersebut dibuat untuk keselamatan bersama.
Katanya, penutupan dilakukan untuk kerja baik pulih kerosakan yang berlaku ke atas jejantas berkenaan yang dibimbangi boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
“Jejantas itu di bawah kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) dan pembaikan masih dalam tindakan pihaknya, namun tidak dipastikan tempoh siapnya.
“Penutupan jejantas ini juga di bawah arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mendapati ada kerosakan dan mungkin membahayakan penggunanya,” katanya.