fbpx

ATM terima aset FAST bernilai RM6 juta untuk rawatan ketika bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Muhammad Fauzi pada Majlis Penutup Eksesais STARLIGHT 2023 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima aset Forward Anesthesia Surgical Trauma (FAST) bernilai hampir RM6 juta yang bakal digunakan bagi tujuan rawatan pesakit ketika berlakunya sebarang bencana alam atau krisis antarabangsa.

Aset tersebut diserahkan oleh Markas Pemerintahan Indo-Pasifik Amerika Syarikat (USINDOPACOM) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam Majlis Penutup Eksesais STARLIGHT 2023 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, hari ini.

Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, penerimaan aset tersebut dapat menguatkan lagi ketersediaan negara dalam menghadapi sebarang bencana alam pada masa akan datang.

“Aset bergerak ini terdiri daripada 52 item dan dilengkapi dengan peralatan perubatan terkini yang dapat digunakan untuk menjalankan pembedahan ke atas pesakit yang memerlukan bius penuh dan bius separuh.

“Penggunaan teknologi terbaharu dalam bidang perubatan bukan sahaja dapat meletakkan Malaysia sebagai negara yang terkehadapan dalam inovasi perubatan, ia juga dapat membuka peluang kolaborasi bersama negara lain.

Tambah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh, penggunaan aset tersebut dapat mempercepatkan penghantaran anggota dan peralatan perubatan terutamanya ke kawasan bencana yang sukar untuk dicapai.

“Dengan adanya aset ini, pengurusan pesakit di medan terutamanya ketika tanah runtuh, banjir atau sebagainya lebih mudah untuk dijalankan.

“Disebabkan aset ini boleh bergerak (mobil), ia boleh dibawa ke tempat bencana dengan mudah dan pantas,” katanya ketika ditemui pada majlis sama.

Eksesais STARLIGHT 2023 telah diadakan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur dari 23 hingga 28 September 2023.

Eksesais tersebut dijalankan bertujuan untuk mengukur tahap kesiagaan, aturgerak dan pelaksanaan pengoperasian Hospital Medan Tahap 3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI