DEBAK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Rimbas di sini, pagi tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 9.47 pagi.
Justeru, katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan.
“Kita menggerakkan 11 anggota bersama-sama agensi lain untuk bantuan mencari mangsa namun sehingga kini masih belum menemukan apa-apa,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata berdasarkan makluman penduduk kampung, mangsa dari Kampung Debak Laut Hilir dipercayai keluar dari rumah dan terus menuju ke arah sungai.
“Ada kesan mangsa terjatuh ke sungai ekoran penemuan sepasang selipar mangsa di tepi sungai,” katanya.- KOSMO! ONLINE