KUALA NERUS – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat agar terus bersatu-padu mempertingkatkan perpaduan dengan mengikuti dan menelusuri sirah Nabi Muhammad serta para sahabat baginda.
Baginda bertitah, banyak teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah terutama pembentukan akhlak dan sahsiah junjungan besar berkenaan.
Sultan Mizan bertitah, Nabi Muhammad adah insan yang amat menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama.
“Kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai di samping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak mulia dan adab tinggi.
“Marilah atas rasa sayang dan kasih kepada Rasulullah, kita bina ummah ini ke arah kehidupan yang lebih harmoni, bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain,” titah baginda di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Sultan Mizan bertitah demikian sewaktu merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu.
Sultan Mizan juga menyeru rakyat agar menyemarakkan lagi kasih sayang dalam kalangan mereka.
Titah baginda, Allah sentiasa mencurahkan kepada makhIukNya dengan segala kasih sayang melalui pelbagai nikmat dalam kehidupan di dunia. – KOSMO! ONLINE