PETALING JAYA – Tular sebuah gambar di Facebook memaparkan jualan promosi spageti kering yang dikatakan lebih mahal berbanding harga asal.
Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Halim Aziz menunjukkan terdapat dua harga yang berbeza dipamerkan pada rak jualan spageti.
“Satu peket spageti kering RM3.08, namun terdapat jualan promosi dengan menawarkan harga RM6.59 untuk dua peket spageti kering.
“Anda rasa mana berbaloi? Ambil set promosi atau ambil asing-asing?,” soalnya dalam satu hantaran.
Perkongsian tersebut ternyata mendapat perhatian ramai sehingga meraih lebih 500 komen sejak semalam.
Ramai yang turut berkongsi pengalaman mereka menghadapi situasi sama apabila harga promosi yang dipamerkan lebih tinggi dari sebelumnya.
“Pernah kena juga, beli susu anak. Satu peket tulis RM18.90, kalau ambil dua ada promosi jadi RM40. Tanpa fikir lama sebabkan tulis promosi terus saya ambil dua peket sekali. Lepas dah bayar, dalam kereta sambil baca semula resit pembelian baru perasan harga promosi merugikan,” kongsi Athirah.
“Sebab itu kita kena belajar subjek Matematik. Supaya pandai kira satu tambah satu, orang kita pantang nampak perkataan ‘promosi’, terus diambilnya, sedangkan kena ‘gula-gulakan’ dengan peniaga,” tegur Azilah Md.
Sementara itu, pengguna juga menyeru pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk kerap meninjau harga jualan di setiap kedai dan pasar raya supaya ia tidak menimbulkan salah faham serta kekeliruan terhadap pembeli. – KOSMO! ONLINE