KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara menepati ramalan apabila mara ke pentas final Sukan Asia Hangzhou dalam acara regu berpasukan untuk membuat perhitungan dengan seteru tradisi, Thailand pada Jumaat ini.
Kejayaan itu hadir selepas skuad negara menewaskan Laos 2-0 dalamm separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium 2 Pusat Sukan Jinhua hari ini.
Regu pertama negara dibarisi tekong, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam (apit kiri) dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) menang 21-17, 21-19.
Regu kedua iaitu Mohammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) juga tiada masalah mencatat kemenangan 21-14, 21-14.
Bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais baharom engggan terburu-buru memutuskan susunan regu untuk final Jumaat ini selepas merehatkan Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar menentang Loas hari ini.
“Kalau ikutkan prestasi di separuh akhir, ada elemen yang kena diperbaiki untuk aksi final menentang Thailand. Esok kita ada peluang untuk berlatih sebelum final dan kita buat penilain.
“Kita mahu tengok tahap kesihatan dan kecergasan kerana kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku di saat akhir. Apa pun, kita akan pastikan gandingan terbaik berdepan Thailand.
“Kita tiada tekanan kerana turun sebagai bukan pilihan tetapi, itu bukan alasan untuk tidak berikan yang terbaik. Kita akan bermain sehabis baik untuk lakar kejutan,” katanya.
Thailand mara ke perlawanan akhir acara regu berpasukan selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini. – KOSMO! ONLINE