KUALA LUMPUR – Panik melihat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat sekatan menyebabkan ada penunggang motosikal sanggup membahayakan diri dengan melawan arus bagi meloloskan diri, di sini.
Kira-kira pukul 4.20 petang, penunggang lelaki itu melalui sekatan jalan raya yang dibuat untuk pemeriksaan lesen dan cukai jalan namun bertindak memecut melepasi anggota untuk meloloskan diri dan menunggang lawan arus.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan mereka gagal melarikan diri semasa ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas Motosikal di Plaza Tol Sentul Pasar, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, masih terdapat penunggang motosikal sanggup membahayakan nyawa berbanding menerima saman.
Katanya, kebanyak penunggang motosikal bertindak demikian kerana tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tidak dilindungi insurans.
“Lawan arus, lari sekatan jalan raya membahayakan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.
“Kadar bayaran saman untuk 15 hari pertama selepas menerima saman hanya RM100 sahaja. Tidak perlu untuk lari daripada sekatan jalan raya,” katanya kepada pemberita semasa Op Khas Motosikal di Plaza Tol Sentul Pasar, di sini, hari ini
Mengulas mengenai operasi itu, Mohd Zaki berkata ia hasil kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.
Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak 3,215 motosikal diperiksa dan 343 telah diambil tindakan.
Ujarnya, sebanyak 19 motosikal telah disita selain 511 saman dikeluarkan.
“Tiada lesen kesalahan paling tinggi iaitu 220 kes diikuti cukai jalan (103) dan insurans (98),” katanya.
Tambahnya, tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1986 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya khususnya kesalahan yang menjadi punca utama kemalangan maut.-KOSMO! ONLINE.