TEKA-teki mengenai kedudukan Baddrol Bakhtiar pada musim depan terjawab apabila pemain berusia 32 tahun itu mengesahkan akan terus kekal di Kedah.
Menurut kapten pasukan itu, jiwanya masih di Kedah biarpun telah 15 tahun menabur bakti di negeri ini sejak mula diserap ke dalam pasukan utama pada 2005.
“Perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebenarnya telah pun berjalan dan hampir dimuktamadkan dan jika anda tanya keputusan saya, rasanya saya masih kekal di Kedah.
“Ramai yang bertanya tentang perkara itu, jadi saya katakan dengan berterus-terang yang jiwa saya masih di Kedah,” katanya di Alor Setar semalam.
Katanya, sebagai seorang pemain, menjadi satu perkara biasa untuk dirinya dan rakan-rakan sepasukan dirisik atau ditawarkan kontrak oleh pasukan lain.
“Saya tidak nafikan tawaran itu memang ada tetapi seperti saya nyatakan, jiwa saya masih di Kedah,” katanya.
Mengulas kenyataan Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor kelmarin yang sememangnya mahu dia kekal di Kedah, Baddrol berkata, dia amat menghargai apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar itu.
“Itu merupakan satu penghargaan buat saya dan sebagai seorang pemain, sudah tentu kita mahu menumpahkan jasa buat mereka yang menghargai peranan kita.
“Saya memiliki pendirian sendiri iaitu selagi khidmat diperlukan, selagi itu saya akan bermain buat Kedah dan memberikan sehabis baik.
“Lagi pula musim depan kita akan bersaing dalam Piala AFC dan insya-Allah, kita akan mencuba sedaya mungkin untuk mara lebih jauh,” katanya.