PETALING JAYA – Sejak disahkan menghidap kanser limfoma awal tahun ini, penyanyi era 80-an Ibnor Riza membelanjakan sekitar RM80,000 bagi menampung kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga kereta.
Kata penyanyi berusia 62 tahun itu, buat masa ini dia masih perlu bekerja bagi menampung kos kemoterapi yang dianggarkan berjumlah RM200,000 untuk empat pusingan lagi di sebuah pusat perubatan swasta.
“Saya keluarkan semua wang simpanan dan ‘melepaskan’ tiga kereta yang dahulunya saya beli secara tunai bagi menampung kos rawatan sebaik disahkan menghidap kanser limfoma pada Mac lalu.
“Sebenarnya saya tiada suara beberapa bulan sebelum itu lagi sekali gus tak boleh bekerja membuatkan saya hilang punca pendapatan serta kena fikirkan alternatif lain.
“Apabila dikatakan hanya ada enam bulan untuk hidup, saya dapatkan pula pandangan pakar di hospital swasta. Alhamdulillah, selepas kemoterapi pertama di situ, ada perubahan malah suara saya kembali macam sedia kala.
“Ikut jadual, ada empat lagi kemoterapi, tapi kena kumpul duit lagi. Bagi sesi kedua yang sepatutnya pada 25 September lalu, saya tak cukup RM12,000 hingga terpaksa tunda ke tarikh lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada majlis ulang tahun sebuah portal, semalam.
Tampak lebih bertenaga berbanding beberapa bulan lalu, penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang apabila boleh menyanyi semula.
“Saya tiada kelebihan selain menyanyi. Selepas berhenti kerja pada 1993, itulah punca pendapatan saya. Jadi tanpa pencen, saya sekarang perlu keluar bekerja semula bagi mencari dana untuk kos kemoterapi seterusnya.
“Apa pun saya tak menyesal berdepan dugaan ini. Allah uji sebab sayang. Cuma, apabila dimaklumkan saya dapat hidup enam bulan lagi, masa seakan terhenti ketika itu.
“Tetapi saya cepat move on apabila fikir balik ajal, maut, pertemuan itu Allah pegang. Mati hidup kita Allah punya rahsia. Kalau tak kena kanser pun saya tak tahu siapa mati dulu kan,” luahnya lagi.
Sedia memenuhi undangan pentas, penggiat seni asal Negeri Sembilan itu mengakui tidak kisah andai dipanggil atas dasar simpati asalkan dapat mengumpul wang, bukan meminta-minta.
“Kalau kesian pun tak mengapa, tetapi bayaran biarlah berpatutan. Saya cuma tak mahu meminta-minta, asalkan dapat bekerja semula.
“Sekarang, sudah ada dua undangan termasuk 1 Oktober depan di Singapura,” katanya yang mempunyai dua cahaya mata dan empat cucu. – KOSMO! ONLINE