KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) bakal memperkenalkan produk pelaburan baharu pada sesi pelancaran Minggu Saham Digital (MSD) yang diadakan secara maya pada pukul 3 petang, Khamis, 19 November 2020.
Produk tersebut dijadualkan dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, produk baharu itu sedikit berlainan berbanding penawaran unit amanah ASNB sedia ada kerana ia berbentuk global.
“Kini dengan kadar dasar semalaman yang rendah pada 1.75 peratus, pendapatan tetap banyak berkurang dan sekiranya pasaran ekuiti domestik tidak meningkat kami terpaksa membuat pelaburan di luar negara.
“Disebabkan saiz dana ASNB yang besar kami perlu melaksanakannya secara berperingkat dan ada sekatan dikenakan pihak berkuasa untuk tidak menjejaskan kadar tukaran wang asing,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Mohammad, pelaksanaan MSD yang menggantikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) bermula semalam sehingga 24 November telah dirancang sejak tahun lalu sebelum tercetusnya pandemik Covid-19 lagi untuk mencapai lebih banyak rakyat Malaysia.
Jelasnya, sejak MSAM diadakan 20 tahun lalu, program tersebut telah mencapai 3.29 juta rakyat, iaitu sekitar 10 peratus daripada populasi di negara ini dan pihaknya percaya program digital seperti MSD berpotensi membuat capaian lebih luas.
“Kita tidak boleh lari daripada arus pemodenan digital kerana masyarakat suka menghadap telefon pintar untuk tempoh yang lama, jadi dengan program MSD, ia akan dapat memenuhi gaya hidup mereka.
“Sebagai contoh, slot Cikgu CEO antara lain menampilkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, bukan mudah untuk tokoh seperti ini bercerita kepada kanak-kanak di pedalaman sekiranya bukan secara digital,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas kepada pengeluaran simpanan unit amanah, khususnya Amanah Saham Bumiputera (ASB), Mohammad menjelaskan ramai yang membuat pengeluaran ketika awal pandemik sehingga Mac, namun pada April dan seterusnya, pengeluaran dilihat berkurangan.
“Mungkin kerana tiada keperluan disebabkan kurang aktiviti seperti membeli-belah dan melancong, atau ramai yang menanti kadar dividen diumumkan sebelum mahu membuat pengeluaran,” ujarnya.