fbpx

Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah ditubuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menubuhkan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah bagi melancarkan tadbir urus dan pengoperasian kesemua hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pusat kawalan tersebut akan diketuai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman dan dibantu oleh Pakar Perubatan Kecemasan dari Hospital Sungai Buloh, Dr. Sarah Shaikh Abdul Karim.

Beliau berkata, pada peringkat awal gelombang ketiga pandemik Covid-19, KKM hanya menggunakan Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur sebagai hospital perawatan Covid-19.

Menurutnya, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah bagi pesakit kategori satu dan dua di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bagaimanapun, peningkatan jumlah pesakit di kawasan ini telah mengakibatkan hospital-hospital tersebut mencatatkan kadar penggunaan katil yang tinggi.

“Sehingga hari ini (semalam), jumlah katil bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah ditingkatkan hampir 14 kali ganda iaitu daripada 345 katil pada 1 Oktober kepada 4,739 katil,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Berhubung kes polio pula, beliau berkata, pemberian suntikan vaksin polio sebanyak empat dos di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak diberi pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan diteruskan di fasiliti kesihatan KKM dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat, mengambil kira kepentingan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak dalam mencegah penyakit cegahan vaksin.

“Bagaimanapun, sehingga Jun lalu, liputan imunisasi bagi suntikan vaksin polio yang diberikan secara vaksin kombinasi lima serangkai adalah 95.6 peratus berbanding 98.4 peratus bagi tahun 2019.

“Terdapat gangguan dalam pengambilan imunisasi susulan PKP dan kerisauan ibu bapa dengan pendedahan kepada jangkitan Covid-19 semasa membawa anak keluar,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI