BANGKOK – Seorang pesohor TikTok dari Amerika Syarikat mengecam tindakan pemandu teksi di Bangkok yang didakwa menipunya kerana enggan menggunakan meter dan mengenakan bayaran 300 baht (RM38.63) untuk perjalanan ke Khao San Road, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Jason Rupp, berkongsi video di TikTok pada 5 September lalu yang menunjukkan dia berhadapan dengan pemandu teksi berkenaan.
Keterangan video itu berbunyi: “Dia (pemandu teksi) tidak suka menggunakan meter. Saya beritahu dia ‘kita jumpa di TikTok’ dan dia kata ‘okay’!”
Dalam video itu, Rupp dilihat menghampiri sebuah teksi berwarna jingga dan memberitahu pemandu dalam bahasa Thai bahawa dia mahu ke Khao San Road sebelum kedua-duanya kemudian terlibat dalam pertengkaran.
Video itu jelas menunjukkan wajah pemandu teksi warga Thailand itu dan daripada reaksinya, dia kelihatan tidak takut sekiranya tindakannya didedahkan di media sosial.
Namun, netizen Thailand berasa malu dengan perbuatan tersebut dengan ada yang mengadu mengenai pemandu teksi negara itu yang dikatakan berkelakuan tidak jujur kepada mereka.
Ada juga yang berkongsi pengalaman mereka ditipu sekali gus membuktikan bahawa masalah caj berlebihan bukan hanya untuk warga asing. – AGENSI