KOMBINASI kerangupan ikan masin gelama masam, rasa lemak manis pulut susu bersama kelapa parut memberikan keseimbangan rasa yang unik.
Menu bernama pulut ikan kering tersebut merupakan juadah yang harus dicuba pengunjung sekiranya bertandang ke Perlis.
Mereka yang tidak gemarkan ikan masin boleh memilih menu pulut ayam iaitu sajian yang menggabungkan ayam, pulut susu dan bawang goreng.
Kedua-dua hidangan sarapan ruji masyarakat Perlis itu merupakan antara menu yang disediakan di Warung Tepi Sawah 2769 di Kangar. Menurut pemilik warung tersebut,
Munira Kamis, 39, pelanggannya hadir dari seluruh pelosok negeri untuk mencuba sarapan tradisi masyarakat Perlis.
“Kedai ini berkonsepkan kampung dengan pilihan masakan tradisi lama warisan keluarga saya yang berasal dari Perlis.
“Pulut ikan masin, pulut ayam dan ‘pek nga’ (lempeng berinti kelapa) ikan seekor sememangnya menu sarapan pilihan masyarakat di sini,” katanya kepada Horizon.
Berlatarbelakangkan Banjaran Nakawan serta bukit bukau dan sawah padi, warung empat tingkat itu memberikan pengalaman gastronomi yang eksklusif.
Nasihat penulis, pengunjung harus datang pada awal pagi untuk mencuri peluang mengambil gambar suasana kabus tebal.
Pelanggan juga boleh mengambil gambar di laluan sawah pada bahagian belakang kedai bagi mendapatkan panorama seakan-akan di tempat peranginan.
Tambah ibu kepada dua anak perempuan tersebut, terdapat 10 gerai dengan aneka juadah ditawarkan kepada pelanggan dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Gerai-gerai tersebut menjual buah-buahan, aneka sate, colek-colek, cucur, pasembur, mi rebus, wafel pelbagai perisa, aneka masakan goreng, masakan tradisional dan roti kukus.
“Biarpun warung kami menyediakan juadah sarapan pagi, tetapi kami turut menawarkan aneka sate, colek-colek, wafel, kuetiau goreng.
“Makanan-makanan ini lazimnya dihidang ketika makan petang atau malam. Tetapi di sini, mereka boleh dapatkan sebagai sarapan pagi,” katanya.
Tambah peniaga wanita itu, warung yang dibuka sejak 2017 itu pada asalnya sama seperti warung kampung lain.
Bagaimanapun, kehadiran pelanggan yang semakin ramai menyebabkan dia dan suami membuat keputusan untuk meluaskan lagi warung tersebut.
Pada awal pembukaan, warung tersebut hanya mampu mengisi empat buah meja makan.
Kini, warung tersebut sudah diubah suai kepada empat tingkat dan mampu menampung pelanggan dengan hampir 100 buah meja makan.
Kongsi Munira lagi, pelanggan yang datang gemar memesan minuman teh ais lava dan teh hijau lava dengan buih melimpah. Di sini, kami menggunakan serbuk teh hijau dan merah autentik yang diimport dari Thailand.
“Jadi, pelanggan boleh menikmati minuman terkenal Thai sambil melihat pemandangan banjaran yang menghubungkan kedua-dua buah negara ini,” katanya.