fbpx

Plus komited pupuk kecemerlangan 520 rakan niaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasnol Zam Zam (tengah) beramah mesra bersama pemenang dari Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Pagoh (arah utara) pada Majlis Kecemerlangan Rakan Niaga Myplus 2023 di Persada Plus. - Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (Plus) komited membimbing, memupuk kecemerlangan dan pembangunan 520 rakan-rakan niaga di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pengguna lebuh rayanya.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaafar berkata, langkah itu termasuk menyediakan pelbagai program seperti Program Insentif Rakan Niaga (BPIP) meliputi bimbingan, latihan, kursus dan seminar dalam meningkatkan kecemerlangan operasi, pengalaman pengguna dan menjana pendapatan.

Katanya, setelah lebih 30 tahun beroperasi, Plus berjaya melahirkan ramai usahawan dalam kalangan komuniti yang tinggal berhampiran dengan jajaran lebuh rayanya.

“Rakan niaga kami kebanyakannya terdiri daripada penduduk komuniti sekitar lebuh raya kendalian kami yang diberi peluang untuk berniaga dan mengusahakan gerai-gerai makanan, minuman, kraftangan dan sebagainya.

“Pada ketika ini, terdapat 520 rakan niaga yang berniaga di 29 R&R, 50 hentian sebelah dan empat buah restoran jejantas,” katanya ketika memberi ucapan di Majlis Kecemerlangan Rakan Niaga MyPLUS, di Persada Plus, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kementerian amat menghargai dan menyokong penuh usaha dan pendekatan yang diambil oleh pihak Plus dalam membantu rakan niaga untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan tawaran kepada pengguna lebuh raya.

“Fokus utama Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah bersama-sama Plus dalam meningkatkan perkhidmatan terbaik dan mesra rakyat khususnya dari aspek keselesaan pengguna.

“Selari dengan peredaran masa serta kehendak pengguna lebuh raya hari ini, saya yakin Plus dapat terus memodenisasikan lebuh raya dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Katanya, perkara itu dapat direalisasikan dengan menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat sepanjang lebuh raya, menerusi penyediaan peluang perniagaan, pekerjaan dan lain-lain.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyaksikan Plus mengiktiraf rakan-rakan niaga cemerlang MyPLUS dari wilayah utara, selatan dan tengah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI