fbpx

Aina Abdul pernah tolak tawaran America’s Got Talent

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi Aina Abdul terpaksa menolak peluang keemasan menyertai America's Got Talent kerana mempunyai komitmen selain terikat dengan urusan yang tidak dapat dielakkan pada ketika itu.

PETALING JAYA – Penyanyi Aina Abdul mendedahkan pernah menolak tawaran untuk menyertai program nyanyian terkemuka dunia, America’s Got Talent (AGT).

Jelas pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu, dia terpaksa menolak peluang keemasan itu kerana mempunyai komitmen selain terikat dengan urusan yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu tidak menolak kemungkinan mahu menggegarkan pentas yang diimpikan setiap penyanyi sekiranya diberikan peluang sekali lagi pada masa hadapan.

“Dulu saya pernah dapat tawaran, tapi ketika itu saya terikat dengan satu komitmen lain yang memang tidak dapat dielakkan menyebabkan dengan berat hati saya terpaksa menolak.

“Lama dah tawaran itu, seingat saya sekitar tahun 2014, ketika saya mula berjinak-jinak dalam industri muzik.

“Mungkin tiada rezeki saya, Insha-Allah kalau ada peluang sekali lagi untuk saya beraksi di sana, saya dah bersedia dan memang teringin menyertainya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Sementara itu, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu sempat menzahirkan rasa teruja apabila bakat dari Asia berjaya mencipta nama di pentas dunia serta mencetuskan fenomena seperti penyanyi Indonesia, Putri Ariani.

“Sebagai penyanyi, memang teruja lihat bakat-bakat hebat dari benua Asia bertanding di pentas dunia seperti Putri Ariani yang berani ke hadapan mempamerkan bakat dan kelebihannya.

“Saya memang mengikuti AGT, dan saya memang peminat suara penyanyi berbakat besar seperti Putri Ariani.

“Dia memang hebat dan layak untuk memenangi pertandingan tersebut apabila dikurniakan pakej lengkap, vokal, intelektual dan bijak bermain instrumen muzik yang menyokong kepaduan suara sehingga mampu menghasilkan bunyian menakjubkan.

“Saya harap dia menang dan menjadi peserta berhijab pertama berjaya menjadi juara dalam pertandingan mega yang diikuti penonton pelbagai negara,” kata Aina teruja.

Putri Ariani yang berusia 17 tahun dan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan mencetuskan fenomena dengan meraih Golden Buzzer selain mendapat tepukan berdiri seiring sorakan penonton untuk persembahannya di peringkat ujibakat AGT, baru-baru ini sekali gus melayakkan dirinya terus ke separuh akhir.

Magisnya berterusan apabila persembahan di separuh akhir turut mendapat respons dan undian ramai sehingga lolos ke peringkat akhir pertandingan tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI