PETALING JAYA – Perbuatan menuntut semula harta yang pernah diberi sebagai hadiah perkahwinan tidak sepatutnya berlaku.
Menurut Peguam Syarie, Fahmi Rami, kejadian bekas suami meminta semula hadiah kahwin seperti gelang emas, rantai serta cincin bukan lagi perkara asing berlaku.
Katanya, ada juga bekas suami yang meminta semula hadiah kahwin kerana bengang gaji dipotong untuk nafkah anak-anak.
“Harta sepencarian adalah harta yang dibeli dalam tempoh perkahwinan. Sama ada dibeli oleh suami atau dibeli oleh isteri. Ia dilihat pada sumbangan terhadap pemerolehan harta tersebut.
“Jika suatu harta itu dibeli sebelum kahwin, maka ia tak dikira sebagai harta sepencarian. Atau harta tersebut diperoleh secara pusaka, wasiat atau hibah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Namun Fahmi berkata, sekiranya harta tersebut ada dimajukan, maka ia boleh bertukar status kepada Harta Sepencarian.
“Contohnya, isteri keluarkan sedikit wang untuk ubah suai dapur rumah yang suami beli sebelum kahwin. Maka, itu dimaksudkan sebagai dimajukan.
“Terdapat dua jenis harta yang boleh dituntut sebagai Harta Sepencarian iaitu harta yang disifatkan sebagai Harta Tak Alih. Contohnya seperti rumah dan tanah. Ini paling ramai tuntut di Mahkamah Syariah kerana nilainya yang tinggi.
“Kedua, Harta Alih. Secara mudahnya, harta alih adalah harta yang tidak melekap di tanah. Harta yang boleh berpindah randah. Harta yang mudah untuk sebarang transaksi. Contoh harta yang selalu dituntut kereta, motosikal, barang kemas, unit amanah dan sebagainya,” jelasnya.
Katanya lagi, sekiranya harta tersebut telah dihadiahkan, sepatutnya harta tersebut tidak boleh dikira sebagai Harta Sepencarian kerana ia telah diserah milik.
“Contohnya, suami telah hadiahkan gelang emas sebagai hadiah hari jadi.
“Namun, memang kita tak boleh elak daripada perkara tersebut dituntut sebagai harta sepencarian. Bekas suami akan sebut gelang emas itu Harta Sepencarian. Bekas isteri pula jika nak pertahankan itu bukan harta sepencarian, ia perlu dibuktikan bahawa itu hadiah yang telah diberi semasa kahwin,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE