PARIS – Lebih empat bilion orang diramal mempunyai berat badan berlebihan menjelang 2050 dengan 1.5 bilion daripada mereka obes sekiranya trend diet semasa ke arah makanan proses berterusan, demikian menurut kajian pertama seumpamanya hari ini.
Pakar-pakar Institut Penyelidikan Impak Perubahan Iklim Potsdam (PIK) berkata, permintaan makanan dunia dijangka melonjak 50 peratus menjelang pertengahan abad ini dan melepasi kapasiti Bumi untuk menampung alam semula jadi.
Pengeluaran makanan telah menggunakan tiga perempat sumber air tawar dunia dan satu pertiga tanahnya di samping menyumbang kepada satu pertiga pengeluaran gas rumah hijau.
Pasukan penyelidik itu mengkaji perubahan tabiat pemakanan global antara tahun 1965 hingga 2100. Mereka menggunakan model sumber terbuka untuk meramal bagaimana permintaan makanan bertindak balas kepada pelbagai faktor seperti pertumbuhan populasi, penuaan, pertambahan jisim tubuh, pengurangan aktiviti fizikal dan peningkatan pembaziran makanan.
Mereka mendapati jika trend semasa diteruskan, lebih empat bilion orang atau 45 peratus populasi dunia akan mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk menjelang 2050.
Menurut kajian tersebut, 16 peratus turut menjadi obes, berbanding sembilan peratus daripada 29 peratus penduduk dunia yang memiliki berat badan berlebihan masa ini.
“Pembaziran makanan yang meningkat dan pertambahan pengambilan protein haiwan bermakna impak alam sekitar disebabkan oleh sistem pertanian kita akan menjadi tidak terkawal,” kata penulis utama kajian itu, Benjamin Bodirsky.
Pasukan penyelidik itu berkata, tabiat pemakanan global kini beralih daripada diet berasaskan tumbuhan dan kanji kepada produk yang tinggi kandungan gula, lemak dan makanan bersumber daripada haiwan termasuk makanan diproses.
“Makanan di dunia adalah mencukupi. Masalahnya adalah golongan paling miskin tiada pendapatan untuk membelinya,” kata penulis bersama kajian itu, Prajal Pradhan.
“Manakala di negara-negara kaya pula , penduduknya tidak merasakan kesan ekonomi dan alam semula jadi akibat tabiat membazir makanan,” tambahnya. – AFP