LIVERPOOL – Sebanyak 19 pertukaran yang dilakukan dalam dua penampilan terakhir meletakkan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dalam situasi penuh dilema untuk menghadapi Leicester City pada aksi Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi esok.
Prestasi luar biasa yang dipamerkan oleh pemain begitu melegakan The Reds dan Klopp dijangka melakukan sedikit lagi perubahan untuk hadapi The Foxes.
“Permulaan yang agak baik dan seperti saya katakan, kami perlu gunakan apa saja perkara berbeza dan jelas ia sudah pun berikan hasil,” kata Klopp merujuk kepada aksi dengan West Ham.
“Ia kelihatan positif dan sekali lagi saya mahu jelaskan, apabila pemain harungi hari yang agak baik mereka pasti akan beraksi cemerlang,” katanya.
Antara posisi yang memberikan lebih banyak pilihan buat Klopp adalah pertahanan tengah yang terdiri daripada Joel Matip, Joe Gomez, Virgil van Dijk, Ibrahima Konate dan juga bintang muda, Jarell Quansah.
Dengan adanya lebih banyak pilihan, ia menjadi ‘dilema positif’ buat Klopp selepas sering dipalit isu penggantungan serta kecederaan pada musim terdahulu.
Wataru Endo yang jarang mendapat minit permainan juga masih berpeluang untuk memberikan peranan besar ketika Klopp turut menjelaskan, beliau bersedia beri ruang kepada kapten Jepun itu menyerlahkan kualitinya. – AGENSI