PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang wanita kerana disyaki memberi suapan kereta mewah bernilai RM200,000 bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan sebuah kementerian bernilai RM87 juta.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai pemilik syarikat penyelenggaran dan pembersihan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pada pukul 6.50 petang, semalam.
“Suspek disyaki memberikan suapan berupa kereta mewah kepada pegawai kanan kementerian tersebut pada tahun ini bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun yang telah diluluskan pada tahun 2021,” katanya di sini, hari ini.
Perintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 September.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Aima Nabila Muhammad Azhar selepas pihak SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE