fbpx

Cheong Min tamatkan kemarau pingat 13 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHEONG MIN ceria selepas menghadiahkan pingat perak pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022, China semalam.

ATLET wushu kebangsaan, Tan Cheong Min menghadiahkan pingat perak pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi acara Nanquan dan Nandao yang berlangsung di Pusat Sukan Xiaoshan semalam.

Pada pusingan akhir itu, Cheong Min menampilkan aksi terbaik bagi menamatkan saingan dengan kutipan 19.419 mata keseluruhan, hanya 0.171 mata dibezakan dengan atlet tuan rumah, Chen Huiying yang memenangi emas.

Pencapaian yang diraih Cheong Min itu sekali gus memperbaiki prestasi pada edisi 2018 yang berlangsung di Jakarta-Palembang apabila dia menamatkan saingan Nanquan & Nandao All-around di tempat keempat.

Pada masa sama, kejayaan yang diraih Cheong Min menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau 13 tahun tanpa pingat di Sukan Asia selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

“Pingat perak untuk Malaysia, saya mahu berterima kasih kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara), rakan sepasukan serta jurulatih. Tanpa mereka, saya tidak akan dapat lakukannya,” kata Cheong Min selepas majlis penyampaian pingat.

Selain itu, 2023 juga menjadi tahun paling bermakna buat atlet berusia 25 tahun itu apabila turut memenangi pingat dua pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang berlangsung Mei lalu.

Mengiringi Cheong Min dan Huiying di podium adalah atlet Uzbekistan, Latisheva Darya yang memenangi pingat gangsa selepas mencatat mata keseluruhan 19.403 mata.

Sementara itu, pengurus pasukan wushu kebangsaan, Yong Kheng Chien menyatakan rasa bangga atas pencapaian Cheong Min, lebih-lebih lagi mereka terlepas peluang meraih pingat dua hari terdahulu.

“Sebenarnya saya lega kerana hari ini (semalam) kami mendapat pingat perak pertama negara di sini menerusi Cheong Min. Ini adalah pingat pertama kita dalam wushu sejak edisi 2010,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI