BANGKOK – Sebuah telefon pintar jenama iPhone milik seorang pelancong Jepun yang terjatuh ke dalam laut di Pattaya Jumaat lalu akhirnya ditemui semula oleh beberapa penyelam, lapor portal berita Pattaya Mail hari ini.
Menyedari telefon bimbitnya jatuh ke dalam laut, pelancong lelaki berkenaan membuat aduan kepada pihak Pentadbiran Bandar Pattaya. Pihak majlis perbandaran kemudian membentuk sebuah pasukan penyelam untuk mencari alat komunikasi tersebut.
Pasukan itu disertai kakitangan maritim tempatan dan kru penyelamat kemudian bergegas melakukan misi selaman.
Akhirnya, mereka berjaya menemui telefon bimbit tersebut di dasar laut tetapi apa yang lebih menarik ialah iPhone tersebut masih berfungsi dan boleh digunakan seperti biasa.
Pelancong Jepun itu dilaporkan berasa gembira kerana telefon bimbitnya ditemui semula dan tidak rosak. – AGENSI