fbpx

Ratusan ribu kakitangan awam Amerika berdepan risiko tiada gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bantuan makanan kepada golongan miskin akan terjejas jika kerajan AS terpaksa ditutup pada bulan depan. - Foto AFP

WASHINGTON – Presiden Joe Biden dan barisan penasihat kanan beliau memberi amaran kelmarin bahawa ‘penutupan kerajaan Persekutuan’ akan mengundang penderitaan meluas termasuk kehilangan bantuan makanan kepada hampir tujuh juta wanita berpendapatan rendah dan kanak-kanak, lapor portal berita Arab News kelmarin.

Biden berkata, kegagalan Kongres mencapai kata sepakat meluluskan peruntukan untuk membiayai kerajaan Persekutuan akan membawa akibat buruk.

Kesannya yang akan dirasai terutamanya oleh masyarakat kulit hitam, termasuk pengurangan bantuan makanan, pemeriksaan lokasi sisa berbahaya dan penguatkuasaan undang-undang perumahan yang adil.

Biden yang menganggotai Parti Demokrat memberitahu, beliau dan Speaker Dewan Perwakilan daripada Parti Republikan, Kevin McCarthy bersetuju beberapa bulan lalu mengenai tahap perbelanjaan untuk kerajaan Persekutuan.

“Kami membuat perjanjian, kami berjabat tangan. Sekarang ini, segerombolan wakil rakyat pembangkang (Republikan) di Dewan Perwakilan tidak mahu mengotakan janji tersebut dan rakyat akan menerima kesan buruknya,” ujar Biden.

Ditanya sama ada beliau te­lah bercakap dengan McCarthy, Biden berkata: “Saya belum berbuat demikian.”

Penutupan kerajaan Persekutuan akan berlaku apabila Kongres gagal meluluskan beberapa rang undang-undang bagi membiayai perbelanjaan negara.

Krisis itu akan mengakibatkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) lumpuh. Beratus-ratus ribu kakitangan Persekutuan di sam­ping angkatan tentera tidak akan mendapat gaji mereka jika Kongres gagal menyediakan pembia­yaan untuk tahun fiskal bermula 1 Oktober 2023.

Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack berkata, sebahagian besar daripada tujuh juta penerima Program Pemakanan Tambahan Khas untuk Wanita, Bayi dan Kanak-kanak (WIC) akan me­nyaksikan pengurangan bantuan serta-merta jika kebuntuan sekarang gagal diselesaikan.

Hampir separuh daripada bayi baru lahir di AS bergantung pada WIC, kata Jabatan Pertanian (USDA).

Bantuan berasingan seperti Program Bantuan Makanan Tambahan (SNAP) pula akan diteruskan seperti biasa pada Oktober ini tetapi mungkin terjejas selepas itu, katanya.

Lebih 40 juta rakyat AS bergantung ke pada SNAP untuk memenuhi keperluan mereka tahun lalu, namun inflasi memberi tekanan baharu pada perbelanjaan isi rumah selepas harga produk makanan seperti roti, sayuran segar dan susu bayi melambung, begitu juga sebilangan barangan lain.

Sekiranya kerajaan Persekutuan lumpuh, agensi perkhidmatan ladang juga akan berhenti memberi pinjaman kepada petani semasa musim menuai, manakala pembeli rumah baharu juga tidak akan mendapat pinjaman perumahan di kawasan luar bandar, kata Vilsack.

Lebih 50,000 pekerja Jabatan Pertanian juga tidak akan me­nerima gaji mereka.

Dewan Perwakilan AS yang mempunyai majoriti wakil rak­yat Parti Republikan mungkin bergerak untuk mengusulkan pemotongan besar dalam perbelanjaan negara sebagai syarat mereka meluluskan bajet kerajaan persekutuan pada minggu ini.

Bagaimanapun, usul sedemikian hampir pasti ditolak Dewan Senat yang dikuasai oleh perwakilan Parti Demokrat.

Kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat yang membentuk Kongres AS mempunyai tarikh akhir Ahad ini untuk meluluskan peruntukan kerajaan Persekutuan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI