SEPANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merekodkan sebanyak 1.89 juta tan metrik hasil perikanan yang berjaya diperoleh pada tahun lalu.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, pencapaian itu disifatkan sebagai amat baik memandangkan Malaysia berdepan pelbagai cabaran pasca pandemik Covid-19 dalam subsektor perikanan negara.
“Justeru, kerajaan akan terus melakukan pelbagai usaha kerana sedar sumbangan besar bidang ini,” katanya berucap pada Seminar Pelaburan Subsektor Perikanan di sini hari ini.
Berdasarkan rekod diterbitkan DOF sepanjang 2021, subsektor itu mencatatkan hanya 1.75 juta tan metrik berbanding sebanyak 1.79 juta tan metrik pada tahun yang sebelumnya.
Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, sepanjang tahun lepas, subsektor perikanan negara telah menyaksikan lonjakan sumbangan nilai yang mencecah sebanyak RM15.9 bilion.
“Pihak KPKM bahkan mendapati seramai 136,000 orang terlibat tahun lalu dalam bidang perikanan dan akuakultur berbanding 149,000 orang yang dicatatkan pada 2021,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE